SEJARAH PENUBUHAN

http://penggunasamttaj.blogspot.com/


Fahaman kepenggunaan di Malaysia telah bermula pada tahun 1960an lagi, tetapi ianya bergerak menjadi sebuah pergerakan atau persatuan pada sekitar tahun 1970an. Persatuan pengguna telah ditubuhkan di peringkat negeri dahulu sebelum bergabung di bawah sebuah pertubuhan di peringkat nasional. Terdapat empat persatuan pengguna yang terawal ditubuhkan di Malaysia iaitu pada bulan Januari tahun 1965, Persatuan Pengguna Selangor (SCA) telah ditubuhkan dan ianya adalah pergerakan pengguna yang terawal di Asia. 
Selepas empat tahun penubuhan Persatuan Pengguna Selangor, pada November 1969, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula telah ditubuhkan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah terbentuk dalam mesyuarat umum yang diadakan pada 7 November 1969 di Town Hall, Penang. Penubuhannya pada ketika itu adalah sebagai sukarela, non-partisyen dan tidak mementingkan keuntungan organisasi. Pada ketika itu penyertaan ahli adalah terbuka kepada semua pengguna yang tinggal di Pulau Pinang serta berumur 15 tahun ke atas. Pengguna yang dimaksudkan adalah sesiapa sahaja tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, yang telah membeli barang dan menggunakan perkhidmatan untuk kegunaan sendiri atau keluarga serta ianya bukan untuk keuntungan. Tujuan utama penubuhan organisasi pengguna ini adalah untuk menyatukan pengguna iaitu melindungi hak individu atau keluarga melalui gabungan tindakan dan bersuara untuk mendapatkan kepuasan yang maksimum dan nilai kewangan yang terbaik terhadap barangan atau perkhidmatan yang telah dibeli atau ditawarkan. Ianya ditubuhkan kesan daripada penyelewengan peniaga sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tentang mutu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga. 
Kemudian penubuhan persatuan telah diikuti dengan penubuhan Persatuan Pengguna Sarawak (CAS) pada Februari 1971. Pada tahun yang sama juga iaitu pada bulan Mac Negeri Sembilan juga menubuhkan sebuah organisasi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS). Pada bulan April 1971, satu mesyuarat telah diadakan di Cameron Highland untuk membincangkan mengenai penubuhan sebuah persatuan gabungan diantara persatuan-persatuan pengguna. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah diberi tugas untuk mengadakan mesyuarat kedua di Pulau Pinang pada bulan Jun 1971 untuk membuat perancangan akhir mengenai penubuhan yang telah dirancang tetapi usaha tersebut telah gagal untuk mencapai kata sepakat diantara satu sama lain. Namun selepas itu, tiga persatuan pengguna negeri lain pula menubuhkan persatuan pengguna di negeri masing-masing iaitu Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) iaitu Julai 1971, Persatuan Pengguna Perak (PCA) pada Mac 1972 dan juga Persatuan Pengguna Melaka pada Mei 1972. 
Kemudian satu lagi sesi perbincangan telah dilakukan untuk menubuhkan sebuah persastuan gabungan. Rancangan tersebut telah berjaya apabila semua pihak bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan yang longgar tanpa menghilangkan kuasa otonomi persatuan-persatuan pengguna negeri masing- masing. Akhirnya lahirlah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada 10 Jun 1973 di Alor Setar, Kedah. Selepas penubuhan FOMCA, persatuan-persatuan pengguna negeri lain telah ditubuhkan iaitu seperti Persatuan Pengguna Johor (JCA) pada Julai 1973, Persatuan Pengguna Pahang (PAC) pada November 1973, Persatuan Pengguna Terengganu (2PTR) pada Jun 1976 dan juga Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH) pada Ogos 1980. Sehingga ke hari ini, kita dapat melihat setiap negeri di Malaysia telah mempunyai persatuan pengguna di negeri masing-masing dan terdapat juga yang mempunyai lebih daripada satu persatuan pengguna.
Semenjak penubuhan FOMCA, organisasi tersebut sentiasa memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa. Semenjak tahun 1987, FOMCA telah dilantik sebanyak tiga kali untuk menduduki Lembaga Pengarah Consumers International (CI), iaitu sebuah pertubuhan pengguna di peringkat antarabangsa yang mengabungkan 225 buah pertubuhan pengguna dari 119 buah negara di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment